PENAGA – Hasrat dua beradik kembar untuk bergelar mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama akhirnya terlaksana selepas salah seorang daripada mereka menerima tajaan penuh yuran melalui program Siswa Sulung.
A’jwaa Abdul Hadi, 20, berkata, sebelum ini dia hampir menangguhkan pengajian kerana masalah kewangan dan bercadang untuk bekerja lebih lama bagi mengumpul wang bagi membayar yuran universiti.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana memikirkan kesusahan hidup keluarga serta tidak mahu menambah beban kepada bapanya yang bekerja sebagai tukang kimpalan besi, manakala ibunya pula hanya mengambil upah mengasuh anak jiran.
“Saya memang rancang nak sambung belajar tahun depan sebab nak simpan duit dulu.
“Lepas matrikulasi saya kerja kilang, buat OT (kerja lebih masa) pun tetap tak cukup nak bayar yuran.
“Saya tak mahu menyusahkan keluarga, jadi saya fikir tunggu cukup duit baru daftar,” ujarnya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Naib Canselor USM, Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di kediamannya, hari ini.
Dalam lawatan itu, Abdul Rahman menyerahkan surat tawaran program Siswa Sulung kepada A’jwaa selain menyampaikan kit bantuan barangan asas kepada pasangan kembar berkenaan.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu menjelaskan, bantuan tersebut menjadi pemangkin semangat untuknya melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Gunaan (Agrobiologi/Bioteknologi/Biologi Persekitaran/Entomologi & Parasitologi) di USM.
Kembarnya, Najwaa Abdul Hadi, turut berjaya menerima tawaran ke universiti sama dalam jurusan Sarjana Muda Sains Matematik dengan Kepujian.
Sementara itu, Abdul Rahman menegaskan pihak USM berbangga dengan pencapaian pasangan kembar tersebut yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah tetapi tetap menunjukkan kecemerlangan akademik hingga melayakkan mereka bergelar mahasiswa universiti.
“Ramai pelajar B40 risau mampu atau tidak membayar yuran ketika daftar. Saya nak tekankan, jangan risau dan yang penting datang dulu, lapor diri serta daftar.
“Soal bayaran, pihak universiti akan bantu kemudian. Kita tidak mahu kemiskinan jadi penghalang mereka untuk ke universiti. Jika ada masalah, terus hubungi kami,” katanya.
Mengenai program Siswa Sulung, Abdul Rahman menjelaskan USM memperuntukkan RM2.8 juta untuk menyokong 280 pelajar generasi pertama daripada keluarga B40 yang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi Sidang Akademik 2025/2026.
“Melalui peruntukan ini, pelajar akan diberi pengecualian penuh bagi yuran pengajian, pendaftaran, berulang dan pelbagai yuran akademik lain sepanjang empat tahun di USM.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha menyeluruh USM dalam memberi akses pendidikan yang adil serta sokongan dari segi kewangan, akademik, sosial dan kebajikan untuk memastikan pelajar mencapai kecemerlangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















