Kredit FB UPTM

KUALA LUMPUR – Selari dengan bulan sambutan Hari Malaysia ke-62, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menganjurkan Persidangan Meja Bulat Kebangsaan bertemakan Pendidikan Insaniah: Pemacu Negara Bangsa Madani.

Program itu menghimpunkan pakar akademik daripada 18 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara termasuk Sunway University, HELP University, UNIRAZAK, UNITEN dan lain-lain bersama pentadbir pendidikan serta tokoh masyarakat bagi membincangkan peranan dan mengangkat Mata Pelajaran Umum (MPU) dalam membentuk generasi Malaysia Madani.

Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh dalam ucapan aluannya menegaskan, komitmen universiti untuk terus memperkukuh agenda pendidikan insaniah.

Katanya, pendidikan insaniah menjadi landasan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dalam pasaran global tetapi juga memiliki etika, integriti dan jati diri sebagai warga Malaysia.

“MPU merupakan satu platform utama pendidikan insaniah dalam memastikan agenda Malaysia Madani dan status negara maju tercapai,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam ucaptamanya menekankan, MPU tidak boleh dianggap sebagai subjek sampingan sebaliknya menjadi wahana utama untuk menyemai kefahaman sejarah, memperkukuh identiti nasional dan menggalakkan perpaduan masyarakat majmuk.

Tambahnya lagi, pengukuhan MPU di IPT seiring transformasi digital dan perubahan sosial semasa amat penting bagi memastikan graduan negara bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mempunyai jati diri, nilai moral dan kesedaran sivik yang tinggi.

Persidangan turut membincangkan pemerkasaan MPU di IPTS melalui inovasi pedagogi, integrasi teknologi digital dan penilaian berstandard tinggi selain diakhiri dengan perbincangan kumpulan fokus, Gallery Walk yang menampilkan hasil penyelidikan, inovasi dan amalan terbaik berkaitan pendidikan insaniah.

Antara rumusan utama persidangan ialah:
 MPU perlu dilihat sebagai instrumen strategik dalam melahirkan graduan Malaysia Madani yang inklusif, berintegriti dan berdaya saing.

 Sinergi antara IPTA, IPTS, kerajaan dan masyarakat amat penting untuk memperkukuh pelaksanaan pendidikan insaniah secara menyeluruh.

Resolusi yang dihasilkan daripada Persidangan Meja Bulat Kebangsaan itu akan diketengahkan hingga ke peringkat kementerian.

“Langkah ini mencerminkan kesungguhan UPTM dalam memperkukuh peranan Mata Pelajaran Umum (MPU) di samping menjadi platform memperjuangkan suara serta kepentingan para pendidik dalam bidang tersebut,” kata kenyataan yang sama.

UPTM turut menegaskan komitmennya untuk terus menjadi peneraju dalam agenda pendidikan insaniah, sekali gus menyumbang ke arah pembinaan Negara Bangsa Malaysia Madani yang berteraskan prinsip inovasi, keterangkuman dan integriti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast