KULAI – Seorang pemuda maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Felda Taib Andak berhampiran Taman Permata dekat sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 10.36 malam.
“Sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan lapan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian sejauh enam kilometer.
“Setibanya anggota bomba ke lokasi pada pukul 10.43 malam, didapati kemalangan berlaku antara sebuah kereta jenis Honda City dengan sebuah lori lima tan jenis Hino yang diparkir di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu kereta, lelaki tempatan, Chan Wen Chong berusia 29 tahun cedera tetapi tidak tersepit dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba.
Sementara penumpang bahagian yang duduk di bahagian depan ujarnya, Chee Wei Yuan yang berusia 23 tabun tersepit, cedera parah dan tidak sedarkan diri.
Tambah Mohd Firdaus, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat katanya, ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.20 malam.- MalaysiaGazete
















