KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan tiada sebarang tindakan penggantungan akan dikenakan terhadap jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Beliau bagaimana memberitahu, pihak MPM akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Liek Hou berhubung kekeliruan mengenai istilah ‘scam’.
“Untuk masa hadapan, semua ganjaran akan disertakan dengan template bertulis supaya lebih jelas dan telus (seperti template Road To Gold),” kata Hannah dalam satu kenyataan di media sosial Facebook miliknya di sini hari ini.
Sebelum ini, Liek Hou didakwa menggelar MPM sebagai ‘scam’ dalam satu hantaran di media sosial berikutan kelewatan badan induk itu dalam membuat pembayaran ganjaran tunai sebanyak RM60,000 yang dijanjikan atas kejayaannya meraih pingat emas di Paralimpik Paris tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan sentiasa bersama atlet dalam perjuangan mereka untuk mengharumkan nama negara.
Hannah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak swasta yang tampil menghubungi kementeriannya untuk menambah ganjaran kepada lima pemenang pingat Paralimpik Paris 2024.
Terdahulu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam sidang media menjelaskan Liek Hou akan diberikan surat tunjuk sebab dan tidak menolak mengambil tindakan undang-undang, termasuk penggantungan.
Megat menjelaskan pada awalnya sebanyak tiga syarikat tampil untuk menjadi penaja kepada pemenang pingat di Paris 2024 selain menegaskan tidak mengetahui punca daripada mana jumlah RM60,000 itu wujud.
Katanya, pemenang pingat emas termasuk Liek Hou akan menerima RM25,000 manakala perak RM15,000 serta gangsa RM8,000 dan disalurkan oleh MPM. – MalaysiaGazette
















