KUALA LUMPUR – Seramai kira-kira 120,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menikmati Program subsidi bersasar iaitu Budi Madani RON 95 (BUDI95) yang bermula Sabtu ini.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, langkah berkenaan sekali gus akan membantu meringankan beban kos sara hidup kakitangan ATM keseluruhannya.
“Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan akses lebih awal kepada warga ATM mencerminkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam menjaga kebajikan dan moral pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi kedaulatan tanah air,” katanya menerusi kenyataan.
Sebagai rekod, di bawah program tersebut, warga ATM bersama seluruh rakyat Malaysia layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.05 seliter, dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan.
Sehubungan itu, Mohd Nizam yang menghargai keprihatinan dan sokongan padu kerajaan terhadap kebajikan warga ATM memberi jaminan terus komited dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
Warga polis dan ATM antara yang akan menikmati subsidi RON95 terawal iaitu Sabtu ini sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh pada Selasa depan.
Perkara itu diumum Perdana Menteri hari ini susulan langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi RON95 secara bersasar.-MalaysiaGazette
















