Empat individu termasuk seorang wanita ditahan kerana memasuki Malaysia secara haram melalui beberapa pengkalan tidak sah di sekitar Rantau Panjang dan Jeram Perdah, semalam. Ihsan foto : PGA

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang wanita ditahan kerana memasuki Malaysia secara haram melalui beberapa pengkalan tidak sah di sekitar Rantau Panjang dan Jeram Perdah, Kelantan semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam kejadian pertama pukul 3.30 petang, tiga lelaki Melayu berusia lingkungan 22 hingga 24 tahun ditahan.

Penahanan itu dilakukan ketika anggota PGA menjalankan pemerhatian di Pengkalan Haram MCA, Rantau Panjang.

Seterusnya pada 6 petang hari sama, seorang wanita Melayu berusia 23 tahun turut diberkas. Wanita berkenaan didapati menggunakan laluan tidak sah di Pengkalan Haram Perdah 1, Jeram Perdah, katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen keluar masuk ke Malaysia yang sah.

Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut manakala siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast