Lee Fon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas dua pertuduhan khianat dengan api.

KLUANG – Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan khianat dengan api di daerah ini pada awal bulan ini.

Tertuduh, Vun Lee Fon, 46, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin dihadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan khianat dengan api dengan niat menyebabkan kebinasaan dengan cara membakar sebuah kereta hingga menyebabkan pemiliknya kerugian RM688.

Selain itu, dia dituduh melakukan khianat dengan api dengan niat menyebabkan kerosakan kereta dan rumah milik seorang wanita.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Suria Empat, Taman Matahari, pukul 4 pagi, pada 3 September lalu dan Jalan Permai 11, Taman Sri Permai, Kluang, antara pukul 3 hingga 3.30 pagi, 5 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 yang boleh dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun dan juga hendaklah dikenakan denda.

Dia juga didakwa bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Ramli yang mengendalikan kes kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon dikurangkan wang jaminan dengan alasan perlu menjaga ibunya yang sudah tua dan uzur.

Mahkamah menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh juga dibenarkan dijamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dibenarkan untuk kedua-dua kes.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast