Kawasan penempatan Jinjang Selatan Tambahan yang akan dipindahkan bagi tujuan pembangunan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Tiada tindakan meroboh rumah, kedai atau kilang akan dilakukan di Jinjang Selatan Tambahan esok di sebalik arahan mahkamah supaya penduduk, peniaga dan pengusaha kilang di situ berpindah.

Jaminan itu diberikan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang memaklumkan ia dicapai hasil perbincangan beliau dengan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

Bagaimanapun berhubung tindakan undang-undang yang mungkin diambil oleh penyewa tanah tersebut, pihaknya akan menunggu dan melihat perkembangannya.

“Persoalan asas tetap sama adakah kira-kira 30 hingga 40 keluarga dan peniaga ini pernah memohon untuk menyewa rumah kos rendah kerajaan atau mereka hanya menunggu kerajaan datang mencari mereka?

“Tanah ini adalah hak kerajaan dan milik bersama seluruh rakyat, bukan untuk diwarisi atau disewakan oleh segelintir keluarga,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Lim Lip Eng

Media sebelum ini melaporkan, seramai 38 peniaga di Jinjang Selatan Tambahan meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis pengusiran paksa kepada mereka.

Setiausaha Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan, Ameer Khan Bargathalli dipetik berkata, mereka juga kecewa apabila hanya ditawarkan pampasan kira-kira RM5,000.

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk setinggan Jinjang buntu, arahan kosongkan kediaman tanpa ada alternatif

Menurutnya, bayaran pampasan ditawarkan kepada pemilik kedai dan perumahan itu disifatkan tidak munasabah berbanding dengan projek yang akan dibangunkan dan nilai semasa premis di kawasan berkenaan adalah RM300,000 hingga RM400,000.

Bagaimanapun DBKL menjelaskan tindakan yang diambil berhubung isu di kawasan tersebut adalah berpandukan kepada rekod rasmi, fakta yang disahkan serta kuasa di bawah seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Dalam masa sama, DBKL turut menyifatkan dakwaan kononnya wujud tindakan berunsur penipuan, salah guna kuasa dan tindakan yang menindas dalam kes terbabit sebagai tidak berasas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast