GEORGE TOWN – Kerja pembaikan paip pembentungan bocor yang mengakibatkan kejadian lubang benam di Jalan Burma di sini dijangka selesai dalam tempoh lima hari.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, buat masa ini, hanya satu lorong laluan dibuka pada waktu malam hingga awal pagi bagi membolehkan Indah Water Konsortium (IWK) menggantikan paip sepanjang 13 meter itu.
Bagaimanapun dua lorong akan dibuka pada sebelah siang untuk mengurangkan kesesakan yang menghubungkan kawasan pusat bandar.
“Jika hanya satu lorong dibuka sepanjang hari, kesesakan boleh mencecah 250 meter atau lebih khususnya di Jalan Transfer, Jalan Penang dan Jalan Burma.
“Sebab itu, kita sudah berbincang dengan IWK supaya kerja dilakukan pada malam hingga awal pagi manakala waktu siang dua lorong dibuka untuk laluan kenderaan.

“Kita turut benarkan kerja dimulakan lebih awal supaya projek ini dapat disiapkan dalam masa singkat,” katanya ketika ditemui di lokasi kerja itu hari ini.
Tambah Rajendran, kos projek masih belum dikenal pasti kerana masih dalam penelitian selain kerja membabitkan kawasan sepanjang 20 meter dan penutupan lebih jauh akan dibuat atas faktor keselamatan.
“Kebocoran itu mula dikesan pagi Sabtu lalu sebelum dimaklumkan kepada IWK dan tindakan segera diambil dengan melakukan pemeriksaan.
“Justeru rang ramai disarankan merancang perjalanan atau menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh pembaikan dijalankan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Media semalam melaporkan satu lubang benam yang berlaku di sepanjang Jalan Burmah berhampiran Komtar di sini menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.
Lubang benam berukuran kira-kira 1.5 meter lebar dan 2.5 meter panjang itu, cukup besar untuk merosakkan tayar kereta atau mengakibatkan motosikal terbalik. – MalaysiaGazette
















