Tangkap layar menunjukkan suspek memakai topi keledar memasuki sebuah premis sebelum melakukan gangguan seksual di lokasi.

BAYAN LEPAS – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah stor kedai mainan kanak-kanak di sebuah premis di Jalan Dato Ismail Hashim di sini.

Penahanan lelaki itu dibuat susulan klip video dimuat naik seorang pemilik akaun X yang memaparkan gangguan berkenaan dan ia tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada jam 5.58 petang semalam, di hadapan sebuah restoran nasi kandar di sini.

“Hasil siasatan mendapati mejadian berlaku pada 19 September lalu di tingkat lima bangunan tersebut apabila mangsa didatangi suspek yang tidak dikenalinya.

“Suspek dipercayai mengganggu mangsa dengan cuba mengajak wanita tersebut melakukan hubungan seks.

“Perbuatan itu turut disaksikan seorang lagi pekerja wanita dan dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki tidak dikenali memasuki ruang kedai berkenaan lalu menutup pintu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast