PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Shell MDS (Malaysia) Sdn. Bhd. menjelaskan bayaran pembekalan gas melebihi RM500 juta kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melibatkan fasiliti di Bintulu, Sarawak, sejak Ogos tahun lalu.
Perkara tersebut ditentukan selepas syarikat minyak nasional itu berjaya mengetepikan injunksi mandatori yang menghendakinya terus membekalkan gas tanpa menerima sebarang bayaran, melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 29 Januari lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azimah Omar memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Petronas.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim memerintahkan SMDB membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Mahkamah turut mengarahkan pembayaran dikira bermula hari ini hingga 5 Oktober ini dan jumlah itu didepositkan pada keesokannya.
Petronas juga berjaya mengetepikan injunksi kedua dan ketiga iaitu berhubung Jaminan Bank UOB.
SMDS memohon supaya Petronas dihalang daripada membuat tuntutan ke atas jaminan itu, menerima atau menggunakan hasilnya, serta memohon pemulangan semula hasil yang telah diterima.
Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi sementara kepada SMDS yang membolehkan syarikat itu menangguhkan pembayaran bagi bekalan gas asli di Bintulu.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi menggantung pembayaran kepada Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) namun memastikan bekalan gas terus disalurkan.
Beliau berkata, SMDS menghadapi risiko serta ancaman gangguan bekalan gas di bawah dua perjanjian jualan gas (GSA) yang bersaing dengan implikasi kewangan pembayaran di antara RM70 juta dan RM100 juta.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Petronas kemudian mengemukakan rayuan untuk mengetepikan injunksi ke atasnya.
SMDS tidak membayarnya kerana dakwaan wujud invois daripada Petronas dan Petros selain bimbang terhadap risiko pembayaran dua kali sementara isu bidang kuasa antara kedua-duanya diselesaikan.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, Petronas mengalami kerugian lebih RM80 juta sebulan ekoran kegagalan pembayaran itu bermula Ogos tahun lalu, walhal gas terus dibekalkan.
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Dr. Cyrus Das, Khoo Guan Huat dan Datuk Azian Mohd. Aziz mewakili Petronas manakala Christopher Leong dan Janet Chai Pei Ying mewakili SMDS sementara Logan Sabapathy dan Foo Joon Liang mewakili Petros selaku pencelah.

SMDS kini berada dalam kedudukan sukar kerana terikat dengan dua perjanjian bekalan gas yang bercanggah, menyebabkan ketidakpastian mengenai pihak mana yang berhak menerima bayaran.
Isu ini bermula apabila SMDS mendapati dirinya terikat dengan dua perjanjian bekalan gas (GSA) yang bertindih.
Perjanjian pertama ditandatangani dengan Petronas pada17 Julai 2020 manakala perjanjian kedua dibuat dengan Petros pada 16 Ogos 2024.
Kedua-dua pihak menuntut bayaran daripada SMDS, yang berdepan risiko perlu membuat pembayaran berganda atau kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang jika bayaran dibuat kepada pihak yang salah. – MalaysiaGazette
















