KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas bakal menganjurkan Himpunan Mega Tolak URA (Akta Pembaharuan Semula Bandar) sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia menolak dasar rakyat di sini pada 4 Oktober ini.
Timbalan ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, pihaknya menyasarkan sehingga 50,000 peserta dalam perhimpunan aman itu
“Kami menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, kaum, agama mahu pun kepercayaan untuk turun bersama dalam himpunan aman ini.
“Inilah masa untuk kita bersatu mempertahankan hak dan maruah negara.
“Selagi ada ruang dan masa, kita terus bangkitkan gelombang bantahan sehingga menggegar Putrajaya, Insya-Allah,” katanya pada sidang media di pejabat Agung Pas hari ini.

Hafez juga berkata, pelaksanaan dasar URA membawa ancaman besar terhadap hak rakyat dan kedaulatan negara.
“Dasar ini berpotensi menjejaskan pemilikan tanah, menghakis kebebasan ekonomi rakyat, serta membuka ruang kepada campur tangan pihak luar.
“Rakyat tidak boleh berdiam diri apabila masa depan generasi akan datang dipertaruhkan.
“Ambang persetujuan pemilik bangunan diturunkan dari 100 peratus kepada 80 peratus dalam draf RUU URA menyebabkan kebimbangan bahawa persetujuan itu tidak benar-benar bebas,” katanya.
Menurut Hafez, sekiranya URA dilaksanakan, ia bakal mengurangkan hak pemilik kecil, mengusir penyewa miskin bandar, menimbulkan ketidakstabilan sosial dan politik serta meningkatkan jurang kaya dan miskin di bandar.
“Penentangan terhadap URA bukan hanya datang daripada satu pihak. Sehingga hari ini, pelbagai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu masyarakat sivil (NGI) telah menyatakan pendirian tegas menolak dasar ini.
“Antara yang turut menyatakan bantahan ialah gabungan parti-parti politik pembangkang, pertubuhan masyarakat sivil, persatuan profesional, serta aktivis akar umbi dari seluruh negara,” katanya.
Jelasnya, selain Pas dan Perikatan Nasional (PN), tujuh Ahli Parlimen PKR sebelum ini menggesa RUU URA ditangguhkan bacaan kedua di Dewan Rakyat.
“Beberapa pemimpin kanan UMNO menolak RUU URA yang dibawa oleh KPKT. NGO Ummah yang menyerahkan memorandum bantahan URA ke Parlimen.
“Turut sama MCA dan beberapa ahli Parlimen blok kerajaan, Persatuan Penduduk-Penduduk Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru,” katanya.
Selain itu, kata Hafez, Lawyers for Liberty (LFL) menegaskan, RUU URA melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mesti ditarik balik segera.
“Persatuan penduduk serta pemilik hartanah di Lembah Klang telah bangkit membantah dan menyifatkan URA sebagai “Akta Memperkaya Pemaju”.
“PUTRA pula mengeluarkan Deklarasi Politik rasmi menolak URA kerana ia merupakan undang-undang pengusiran dengan memberi kuasa besar kepada pemaju,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















