KUALA LUMPUR – Remaja lelaki autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dijumpai berseorangan diri di lorong motosikal di Kilometer 43.2, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) pada Jumaat lalu telah dituntut oleh ibunya semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad memaklumkan, seorang wanita berbangsa Cina telah tampil membuat laporan di Balai Polis Petaling berhubung kehilangan anaknya itu.
Katanya, wanita berkenaan hadir untuk menuntut semula anaknya daripada pihak JKM.
“Hasil siasatan awal mendapati pada 19 September kira-kira pukul 5.50 petang, remaja tersebut telah keluar dari rumah mereka di Taman Sri Sentosa dalam keadaan marah.
“Menurut ibu mangsa, kejadian seperti itu pernah berlaku dan anaknya lazimnya akan pulang semula ke rumah.
“Namun setelah anaknya tidak pulang, wanita berkenaan membuat hantaran di Facebook pada 21 September pukul 6 petang untuk mendapatkan bantuan orang ramai.
“Hasil daripada hantaran tersebut, beliau menerima panggilan telefon sekitar pukul 6.30 petang daripada seorang lelaki yang meminta beliau menghubungi Balai Polis Puchong Jaya,” katanya dalam kenyataan.
Muhamad Farid berkata, selepas menghubungi balai berkenaan, wanita itu kemudiannya dimaklumkan anaknya kini berada di bawah jagaan JKM dan sedang dirawat di Wad Kanak-Kanak, Hospital Shah Alam.
Beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dalam usaha mengesan penjaga serta waris kepada mangsa.
Terdahulu media melaporkan, remaja berusia 14 tahun itu ditemui duduk seorang diri oleh seorang penunggang motosikal pada pukul 9.13 malam, Jumaat lalu.
Remaja itu kemudiannya diserahkan kepada pihak JKM untuk jagaan sementara dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















