MELAKA – Restoran mi segera di Kampung Jawa, di sini yang tular mempamerkan haiwan spesies unta dikenali alpaka selain 22 lagi ternakan termasuk kambing sebagai hiburan pelanggannya diarah tutup selama tujuh hari selain dikompaun RM10,250.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, arahan penutupan itu bermula hari ini sehingga 28 September dikenakan setelah didapati melanggar garis panduan ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Menurutnya, pemilik premis turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 dan RM250 kerana melanggar syarat Undang-undang kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020.
“Kita juga telah mengeluarkan notis untuk pemiliknya menutup perniagaan mereka selama tujuh hari untuk kerja-kerja pembersihan restoran dan mengeluarkan semua haiwan peliharaan di dalam restoran ini.
“Semakan mendapati, MBMB mengeluarkan lesen perniagaan premis makanan pada April lalu namun pemiliknya mula memasukkan 23 ekor haiwan secara berperingkat seperti alpaka, kambing, itik, angsa, arnab dan kucing pada Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan ke restoran itu di Kampung Jawa di sini awal pagi tadi.
Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mengulas lanjut Shadan berkata, kesalahan mempamerkan dan memelihara 23 ekor haiwan iaitu alpaka, kambing (2), itik, angsa (2), arnab (2) dan 15 ekor kucing sebagai hiburan dalam premis makanan tidak dibenarkan sama sekali.

“Ini adalah kes pertama kita kesan berlaku restoran dijadikan seperti petting zoo walaupun hanya alpaka diletakkan di ruang berasingan di restoran tingkat bawah pada waktu tertentu dan haiwan lain di tingkat atas.
“Dalam lesen dikeluarkan MBMB, sudah jelas dinyatakan tidak boleh meletakkan haiwan-haiwan peliharaan di dalam kedai ataupun restoran,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, beliau akan meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri membuat satu garis panduan mengenai aktiviti berkenaan.
“Dari segi dasar pelancongannya, idea sebegini agak bagus kerana ia mendekatkan terutamanya kanak-kanak dengan haiwan peliharaan tetapi kena jelas apa yang harus dilakukan selepas itu.
“Kalau nak buat petting zoo sebegini adakah haiwan itu disimpan di dalam bilik ataupun kena lepaskan ke habitatnya selepas waktu persembahan macam di zoo supaya tidak bertentangan dengan sifat semulajadinya,” katanya. – MalaysiaGazette
















