Dr. Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengkaji model pengurusan penyampaian subsidi bagi mengelakkan ketirisan yang merugikan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) , Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, subsidi perlu bagi yang layak namun, subsidi secara ‘blanket’ umumnya membebankan kedudukan fiskal.

Disebabkan itu, katanya, hasrat kerajaan untuk mengelakkan ketirisan subsidi kepada bukan warganegara adalah baik dan dialu-alukan.

“Subsidi yang menurunkan harga di pasaran awam, bukan sahaja mungkin mewujudkan sifat kepenggunaan yang merugikan, malah ketirisannya kepada bukan warganegara (atau bukan kumpulan sasaran yang perlu dibantu) susah dibendung,” tulis beliau menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mengulas penurunan harga runcit petrol RON95 kepada RM1.99 bermula 30 September ini.

Menurutnya, penduduk Malaysia kini mencecah 34 juta (suku pertama 2024) orang dan 30.6 juta darinya adalah warganegara, baki 3.4 juta adalah penduduk bukan warganegara.

Bagi memastikan subsidi minyak RON95 tidak tiris kepada 3.4 juta penduduk bukan warganegara, 30.6 juta warganegara perlu membuktikan kerakyatan setiap kali mengisi minyak kenderaan mereka.

Mengambil kira umur bekerja  (15-64 tahun), sekitar 21.5 juta (70.1%) dari warganegara perlu mengesahkan kerakyatan setiap kali mengisi minyak kenderaan mereka.

Terkini, katanya, jumlah kenderaan berdaftar ialah 38.7 juta (2024: 38 juta), melebihi bilangan penduduk negara.

Menurut beliau, keperluan mengisi minyak kenderaan sudah umpama mengisi perut setiap hari.

Oleh itu, hasrat kerajaan untuk mengelakkan ketirisan subsidi kepada bukan warganegara adalah baik, dialu-alukan.

Namun keperluan pembuktian kerakyatan dengan pengesahan menggunakan Mykad setiap kali pengisian minyak perlu dinilai implikasinya secara meluas.

“Kebaikannya, subsidi tidak tiris kepada bukan warganegara. Bagaimana dengan kesannya yang lain?

“Berkemungkinan besar  akan menjejaskan kelancaran urusan di stesen minyak dan juga urusan yang lain. Warganegara adalah majoriti (90%) penduduk Malaysia. Beban pembuktian diletakkan di atas majoriti pengguna. Pada hemat saya, wajar difikirkan,” ujar beliau.

Tambahan pula, jumlah terkini kenderaan berdaftar ialah 38.7 juta (2024: 38 juta), melebihi bilangan penduduk negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast