KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah berani menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, sekali gus membuktikan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin berkata, penurunan harga bahan api asas itu akan memberi kelegaan besar kerana petrol adalah antara faktor utama mempengaruhi kos sara hidup harian rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, pemandu e-hailing, peniaga kecil dan lain-lain.
“Ini bukan sekadar janji, tetapi pelaksanaan yang memberi manfaat nyata. Turunnya harga RON95 menstabilkan kos barangan dan operasi perniagaan, sekali gus melegakan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainol menegaskan, keberanian perdana menteri membuat keputusan itu ketika banyak negara lain menaikkan harga bahan api, memperlihatkan ketegasan Kerajaan Madani dalam melindungi rakyat tanpa mengabaikan kedudukan fiskal negara.
“Langkah ini mencerminkan kepimpinan yang berpandangan jauh. Ia bukan dasar populis semata-mata, tetapi strategi untuk memastikan keseimbangan antara keadilan sosial dan kelestarian ekonomi negara,” tambahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, umum harga baharu RON95 ini akan berkuat kuasa mulai 30 September 2025, melalui skim subsidi bersasar BUDI95.
Semua warganegara dengan lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi, menggunakan MyKad untuk pengesahan di stesen minyak.
Setiap individu dibenarkan membeli sehingga 300 liter sebulan manakala bukan warganegara, harga tanpa subsidi adalah sekitar RM2.60 seliter.
Zainol menambah, rakyat kini boleh menilai keputusan kerajaan bukan bersifat retorik, sebaliknya berani dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Kesan berganda dapat dilihat, kos operasi perniagaan berkurangan, harga barangan asas lebih terkawal dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara meningkat.
“Ini membuktikan perdana menteri bukan sahaja memahami kesusahan rakyat, tetapi juga menjaga kepentingan negara pada jangka panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Malaysia satu-satunya negara di dunia berani turun harga petrol untuk rakyat
















