BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 10 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Prosiding itu berkaitan pertuduhan beliau mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan tarikh tersebut bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan kepada mahkamah.
Menurut peguam bela, Datuk Mohd Imran Tamrin, sebutan hari ini merupakan yang pertama sejak pertuduhan difailkan terhadap anak guamnya.
“Pada sebutan pagi ini, pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.
“Namun, terdapat beberapa dokumen tambahan yang masih belum disediakan dan mahkamah menetapkan 10 November untuk pendakwaan melengkapkan penyerahan dokumen berkenaan,” katanya.
Artikel berkaitan: Akmal Saleh mengaku tidak bersalah cetus kegentaran awam
Jangan bermimpi untuk menakut-nakutkan saya – Akmal Saleh
Media pada 22 Ogos lalu melaporkan Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka itu didakwa membuat kenyataan berunsur kegusaran awam menerusi akaun Facebook miliknya di pautan https://www.facebook.com/m.akmalsaleh/videos/1091167866480546 jam 3 petang, pada 11 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















