PERMATANG PAUH – Lebih 1,500 penunggang motosikal, majoritinya pekerja Gig membanjiri program Penang Rider Jalan Teruih di sini, malam tadi bagi mengikuti sesi penerangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Acara anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang serta Penang Youth Development Centre (PYDC) itu menjadi sebahagian siri jelajah RUU Pekerja Gig yang baru diluluskan di Parlimen.
Steven Sim yang mengetuai konvoi lebih 300 motosikal sejauh tiga kilometer dari pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Seberang Jaya menuju ke tapak utama program sebelum bersama-sama peserta mendengar penerangan mengenai undang-undang baharu yang memberi perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig.
“RUU Pekerja Gig bukan sekadar undang-undang, ia adalah pengiktirafan bahawa pekerja gig merupakan wira moden yang menyumbang kepada ekonomi negara,” tegas beliau dalam sesi dialog tersebut.

Sepanjang sesi itu, beliau turut menjawab persoalan komuniti pekerja gig berhubung aspek perundangan perburuhan, keselamatan sosial serta hak-hak yang dijamin di bawah RUU berkenaan.
Program turut dimeriahkan dengan penyertaan kelab-kelab motosikal seperti Xtreme Bikers Club, MSBKC, Northern Versy Owner Group, Zontes 368G Northern Rider Club, PMTC, Sahabat Honda Penaga, ATMS dan RRC Grab 2W Penang.
Peserta juga berpeluang memenangi cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal elektrik (EV) serta lebih 400 hadiah lain.
Jelajah RUU Pekerja Gig itu akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi memastikan setiap pekerja gig mendapat maklumat, perlindungan dan manfaat sepenuhnya di bawah akta berkenaan. – MalaysiaGazette
















