KUALA LUMPUR – MuviiGrind, sebuah platform penstriman terbaharu di rantau ASEAN memulakan pencarian bakat baharu menerusi sesi uji bakat drama vertikal yang berlangsung di Teedo Hotel di sini semalam.
Program mendapat sambutan hangat apabila lebih 120 peserta hadir manakala lebih 480 individu lagi mendaftar dari seluruh negara untuk merebut peluang menjadi sebahagian daripada produksi yang bakal mengangkat kisah kehidupan masyarakat serantau.
“Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pertama untuk sesi uji bakat bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN ke-47.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen MuviiGrind dalam memperkaya industri hiburan serantau dengan suara-suara baru yang relevan,” kata penganjur dalam kenyataan.
MuviiGrind turut memaklumkan atas sambutan luar biasa tersebut, pihaknya merancang untuk mengadakan sesi kedua dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan tinggi daripada calon berbakat yang tidak sempat menyertai pusingan pertama.

Panel penghakiman kali ini menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan tempatan antaranya Datuk Fauziah Nawi, Rosnah Johari dan Zila Bakarin.
Ketiga-tiganya membawa pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni termasuk lakonan, pengarahan dan produksi.
Selain itu, pengarah dan penulis skrip prolifik seperti Hafiz Derani, Zaiham Zainal atau Curly Jow serta Rizuan Md Nor atau Apple turut menganggotai barisan juri.
Kehadiran mereka memberikan nilai tambah kepada sesi uji bakat dengan pengalaman luas dalam menghasilkan karya-karya popular.
Pelakon, Danial Dashuki dan Tiara Suraya juga dijemput sebagai panel jemputan bagi memberi pendedahan tambahan kepada para calon supaya lebih bersedia menghadapi proses pemilihan yang kompetitif.
Sokongan turut diberikan oleh Teedo Hotel selaku penaja lokasi serta Dosz Coffee Malaysia yang menyediakan lebih 500 cawan kopi, coklat dan teh untuk para peserta serta penganjur sekali gus menambah kemeriahan suasana sepanjang uji bakat berlangsung.

MuviiGrind berkata, pihaknya berhasrat memperkukuh jaringan industri hiburan serantau dengan melibatkan pemenang festival filem antarabangsa seperti Cinema International Film Festival (Filipina), Piala Citra Festival Film (Indonesia) dan Suphannahong National Film Awards (Thailand) dalam usaha melahirkan karya drama vertikal yang berdaya saing dan relevan di rantau ini. – MalaysiaGazette
















