Oleh: Ismail Hashim Yahaya
DALAM politik Malaysia, PAS sering muncul sebagai watak yang tidak mudah diramal. Sejak 1980-an, parti ini telah melalui pelbagai fasa kerjasama politik — dari Angkatan Perpaduan Ummah ke Barisan Alternatif, kemudian ke Pakatan Rakyat, Muafakat Nasional, dan kini Perikatan Nasional. Perpindahan demi perpindahan ini bukan sekadar soal strategi pilihan raya, tetapi mencerminkan satu corak yang berulang dan signifikan. Maka timbul persoalan yang semakin relevan: adakah PAS sebuah parti nomad?
Untuk memahami fenomena ini, dua pendekatan teori boleh digunakan: nomadologi dan semiopolitik. Nomadologi, menurut pemikir semiotik Perancis Gilles Deleuze dan Félix Guattari, merujuk kepada gaya hidup yang tidak menetap sentiasa bergerak, menyesuaikan diri dan tidak tunduk kepada sempadan tetap. Dalam politik, ia merujuk kepada kecenderungan sesebuah parti untuk berpindah dari satu pakatan ke pakatan lain demi kelangsungan dan pengaruh.
Pas ialah contoh paling jelas fenomena ini di Malaysia. Sejak awal 1990-an, mereka telah menunjukkan corak perpindahan yang konsisten, bukan sahaja dari segi pakatan tetapi juga dari segi naratif dan tafsiran politik. Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyaksikan Pas sebagai peneraju dalam gabungan dengan parti-parti serpihan UMNO, membolehkan mereka menguasai Kelantan.
Kemudian muncul Barisan Alternatif pada tahun 1999 bersama PKR dan DAP, yang memberi mereka peluang meluaskan pengaruh selepas gelombang Reformasi. Namun gabungan itu retak kerana pertentangan ideologi. Pas kembali dalam Pakatan Rakyat dan memainkan peranan penting dalam kemenangan besar 2008 tetapi sekali lagi, tuntutan terhadap kedudukan dominan menyebabkan keretakan.
Fenomena ini berulang dalam Muafakat Nasional bersama UMNO yang bermula dengan semangat perpaduan ummah tetapi akhirnya retak apabila Pas mula memalingkan wajah ke arah Bersatu dan Perikatan Nasional. Kini dalam PN, pergeseran dengan Bersatu semakin ketara. Pas dilihat tidak selesa sekadar menjadi pengikut kepada parti yang lebih muda usianya. Maka timbullah tuntutan bahawa mereka berhak meletakkan calon perdana menteri sendiri, bahkan menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Di sinilah nomadologi Pas berfungsi: tidak pernah puas, sentiasa mencari padang kuasa baharu, berpindah dari satu poros kepada poros lain demi memastikan kelangsungan. Namun perpindahan ini bukan sekadar soal strategi. Ia juga melibatkan produksi makna yang kompleks.
Semiopolitik ialah istilah yang menjelaskan bahawa politik bukan sekadar perebutan kuasa tetapi juga perebutan makna. Setiap langkah politik mempunyai tanda dan mesej simbolik tersendiri. Ketika Pas memilih untuk bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dahulu, mesej yang dihantar ialah keterbukaan kepada politik inklusif. Ketika bersama UMNO dalam Muafakat Nasional, tanda yang ingin ditonjolkan ialah perpaduan Melayu-Islam.
Kini apabila Pas menuntut kerusi Perdana Menteri atau cuba menolak dominasi Bersatu, mesej kepada penyokongnya ialah bahawa mereka — bukan rakan lain sebaliknya merupakan tulang belakang sebenar politik pembangkang. Dengan kata lain, politik Pas tidak boleh dibaca hanya melalui strategi praktikal. Ia juga merupakan pengolahan makna yang membentuk persepsi umum.
Dalam setiap pakatan, Pas mencipta naratif agama untuk mengabsahkan langkahnya. Apabila bersama DAP, ia disebut sebagai tahalluf siyasi demi maslahat Islam. Setelah keluar, dalil baru pula dikarang bahawa DAP adalah musuh Islam. Semasa bersama UMNO, ia disebut sebagai penyatuan ummah. Pada masa meninggalkan UMNO, alasan maslahat politik diberikan semula.
Setiap langkah bukan hanya berpindah pakatan tetapi juga berpindah makna, menjadikan penyokongnya terbiasa dengan justifikasi agama-politik yang berubah-ubah. Fenomena inilah yang menjadikan Pas kelihatan seperti kafilah nomad yang tidak pernah berhenti. Mereka membaca peta kuasa dengan cara yang berbeza.
Bagi parti lain, politik ialah soal konsistensi, prinsip dan perkongsian kuasa yang stabil. Bagi Pas, konsistensi itu lebih cair. Apa yang utama ialah kelangsungan pengaruh mereka dalam jangka panjang. Oleh itu mereka sanggup merubah naratif, menukar rakan dan menyesuaikan tafsir agama demi mengekalkan posisi sebagai parti Islam yang relevan.
Corak ini membuka peluang dan risiko besar kepada Pas. Dari segi peluang, strategi nomadis membolehkan mereka bertahan sebagai salah satu parti politik tertua di Malaysia tanpa pernah lenyap. Mereka mampu bergerak dari padang kuasa yang kering ke padang baharu yang lebih subur. Mereka tidak terikat dengan satu gabungan yang boleh memerangkap mereka dalam kekalahan berpanjangan.
Tetapi risikonya ialah mereka sentiasa meninggalkan jejak kekecewaan. Rakan politik lama yang pernah dianggap sekutu akrab kini berubah menjadi musuh bahkan dilabel dengan istilah yang keras. Dalam jangka panjang, corak seperti ini menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaan PAS sebagai rakan kongsi.
Kini, apabila timbul khabar bahawa PAS berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekalipun secara tidak rasmi, bayangan nomadologi sekali lagi hadir. Ada yang melihat ia sekadar manuver taktikal untuk menguji respons, ada yang menganggapnya serius.
Tetapi apa pun tafsirannya, peristiwa itu menunjukkan PAS tidak pernah menutup pintu untuk bergerak ke arah baharu jika situasi menuntut. Jemputan rasmi Pemuda Pas kepada UMNO untuk menyertai himpunan membantah Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) pada 4 Oktober ini bukanlah sekadar ajakan teknikal sebaliknya sarat dengan makna semiotik.
Ia menandakan bahawa PAS masih menyimpan ruang untuk rekonsiliasi, meskipun Muafakat Nasional dianggap sudah berakhir. Tindakan ini boleh dibaca sebagai isyarat fleksibiliti politik Pas yang mahu menguji reaksi UMNO, menekan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional dan pada masa yang sama menghantar mesej kepada kerajaan bahawa mereka kekal sebagai pemain penting dalam politik Melayu-Islam.
Simbolik jemputan itu menjadi gesture kecil yang berpotensi membuka jalan ke arah pakatan baharu atau malah sebagai modal tawar-menawar jika Pas mahu mendekat ke orbit kerajaan Madani. Dalam semiotik, langkah ini memperlihatkan ciri politik nomadis — berpindah, beredar dan bergerak antara poros tanda untuk mencari kedudukan paling menguntungkan.
Nomadisme Pas tidak semestinya bermakna ketidaksetiaan, sebaliknya mencerminkan strategi adaptif dalam lanskap politik yang cair, di mana tiada pakatan dianggap kekal. Dengan mengekalkan opsyen untuk kembali kepada UMNO atau berunding dengan kerajaan, Pas menggunakan mobiliti tanda sebagai bentuk kuasa: mereka tidak terikat pada satu naratif tetap tetapi sentiasa bergerak dalam ruang makna yang memberi kelebihan. Jemputan kepada UMNO ini, dalam bacaan semiotik, bukan titik akhir tetapi jejak awal sebuah perjalanan nomadis yang boleh berakhir dalam pelbagai arah.
Namun langkah sebegini, jika benar berlaku, bukan sahaja memberi kesan kepada Pas, tetapi juga kepada Kerajaan Madani. Rundingan dengan Pas mungkin menawarkan nilai tambah, tetapi ia juga boleh menggugat kestabilan gabungan sedia ada. DAP dan Amanah khususnya, sebagai rakan penting dalam kerajaan tentu tidak mudah menerima jika pintu terbuka terlalu luas kepada parti yang selama ini menentang mereka.
Dalam jangka panjang, strategi ini menuntut penilaian berterusan terhadap kesan kepada kepercayaan politik dan kestabilan negara. Adakah gaya politik nomadis ini mampu melahirkan kepimpinan negara yang stabil dan berpengaruh, atau sekadar mengekalkan Pas dalam kitaran lama iaitu berpindah, bertahan, lalu berpindah semula?
Jawapannya bergantung kepada sejauh mana rakyat Malaysia dan rakan politik boleh menerima gaya politik yang fleksibel dan berasaskan maslahat, atau menuntut konsistensi dan kejelasan prinsip sebagai asas kestabilan politik. Dengan pendekatan nomadis dan kompleks, adakah Pas mampu memimpin negara dalam era pertembungan unilateral dan multilateral yang semakin sengit ini?

Penulis adalah penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa
















