Gambar tular menunjukkan seorang pegawai kerajaan negeri merokok dalam kereta jabatan. Foto FB

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kerajaan Negeri Selangor diberikan Surat Tunjuk Sebab (STS) selepas gambarnya sedang merokok di dalam kenderaan rasmi jabatan tular di media sosial.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dalam kenyataan hari ini menegaskan, pihak pentadbiran memandang serius perbuatan itu.

Katanya, setiap penjawat awam wajib menjaga imej perkhidmatan awam dan mematuhi semua peraturan, termasuk etika penggunaan aset rasmi kerajaan negeri.

“Tindakan tidak berdisiplin bukan sahaja mencemarkan reputasi jabatan, malah bertentangan dengan nilai integriti serta tanggungjawab awam yang digariskan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” kata kenyataan itu.

Ia turut mengingatkan semua penjawat awam supaya menjaga tingkah laku semasa menggunakan aset kerajaan, tidak melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan imej negatif terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan sentiasa bertanggungjawab terhadap persepsi awam.

Kenyataan itu turut menegaskan, sebarang pelanggaran tatakelakuan akan ditangani melalui saluran tatatertib sedia ada. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast