MELAKA – Tahap kesihatan penduduk Melaka membimbangkan bagi kes penyakit tidak berjangkit (NCD) khususnya diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, dapatan itu adalah hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2023.

Menurutnya, data NHMS juga menunjukkan 33.5 peratus rakyat Melaka mengalami kolesterol tinggi, 29.5 peratus hipertensi, manakala 20.5 peratus pula mengidap diabetes.

“Kadar diabetes di Melaka adalah yang kedua tertinggi di Malaysia dan ini bukanlah sekadar angka, tetapi satu peringatan bahawa isu keselamatan makanan dan pemakanan sihat perlu diberi perhatian serius.

“Kajian turut mendapati seramai 2.5 peratus golongan dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit serentak iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hee Sem melakukan gimik pelancaran merasmian Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, angka itu juga jelas menunjukkan corak pemakanan dan gaya hidup rakyat masih belum berada pada tahap yang baik.

“Justeru, agenda penambahbaikan berterusan perlu digerakkan secara menyeluruh, dengan tumpuan khusus kepada peningkatan kesedaran dan literasi makanan.

“Usaha untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat pula tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama kolektif daripada semua pihak termasuk komuniti, badan bukan kerajaan dan swasta,” tambahnya.

Sementara itu, Hee Sem berkata, sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 yang mengangkat tema “Food Safety: Science in Action” juga menjadi pengiktirafan kepada kepentingan mengaplikasikan ilmu sains secara langsung.

“Ini penting bagi memastikan sistem keselamatan makanan negara sentiasa terpelihara di setiap peringkat rantaian makanan.

“Tema ini bukan sekadar slogan tetapi tuntutan untuk kita mengangkat peranan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemangkin utama kepada jaminan makanan yang selamat, berkualiti dan berkhasiat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast