Pihak bomba sedang menjalankan operasi pemadaman api di lokasi kejadian.

NIBONG TEBAL – Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, dekat sini awal pagi tadi merebak sehingga melibatkan kawasan hampir tiga perempat keluasan padang bola.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer.

“Ketika anggota tiba jam 6.56 pagi, api sedang marak dan kawasan yang terjejas membabitkan keluasan kira-kira 100 meter x 50 meter.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan usaha pemadaman serta pengawalan masih giat dijalankan.

“Seramai tujuh anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi dengan kekuatan logistik melibatkan masing sebuah jentera LFRT, EMRS dan FRV,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, operasi pemadaman masih diteruskan oleh anggota bomba di kawasan berkenaan.

“Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu susulan kebakaran gagal dipadamkan sepenuhnya hampir beberapa minggu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast