BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Program Jejak Pewaris Watan 2025/2026 yang berlangsung dari 17 hingga 25 September ini bagi menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada pelajar baharu yang kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU).
Bagi kemasukan pelajar baharu sesi 2025/2026, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman meluangkan masa ke beberapa buah rumah bakal pelajar UKM bagi menyerahkan bantuan kepada beberapa pelajar terpilih.
Antara penerima termasuk lain ialah Fatin Era Natasha Amin, dari Jeram, Kuala Selangor, Norfadilah Ahmad Rodzi, dari Batu Muda, Kuala Lumpur yang merupakan anak yatim, serta Muhammad Ahnaf Aiman, dari Jalan Pudu Kuala Lumpur yang juga merupakan seorang anak yatim piatu.
Turut disantuni ialah ahli keluarga pelajar baharu UKM yang lain yang berada di Jeram, Selangor dan Kuala Lumpur.
Melalui inisiatif ini, bantuan awal pengajian pendidikan dan Bakul Rahmah bernilai hampir RM40,000 diagihkan mengikut zon di seluruh Malaysia.
Agihan ini dijalankan secara berperingkat sehingga minggu pendaftaran pelajar, sekali gus memastikan tiada pelajar baharu tercicir daripada menerima sokongan sewajarnya untuk memulakan pengajian di UKM.
Menurut Dr. Norinsan Kamil, usaha itu adalah manifestasi keprihatinan UKM terhadap kelangsungan pendidikan anak bangsa.
“UKM sentiasa bertekad memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang dan kemampuan, berpeluang menimba ilmu di menara gading ini.
“Tiada seorang pun pewaris watan akan dibiarkan tercicir hanya kerana kekangan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















