Sesi bergambar bersama kontinjen yang terlibat KARSUMS 2025.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Karnival Sukan Staf UMS (KARSUMS) 2025 sebagai platform memperkukuh silaturahim warga kerja di samping memupuk kepentingan menjaga kesihatan mental dan fizikal melalui aktiviti sukan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penganjurannya bukan sekadar acara tahunan semata-mata, sebaliknya memainkan peranan penting mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam kalangan staf universiti.

“Karnival sukan ini mempunyai tiga objektif utama iaitu mengukuhkan silaturahim antara warga kerja UMS di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan.

“Yang kedua, menggalakkan gaya hidup sihat yang menjaga kesejahteraan fizikal dan mental di samping memberi ruang untuk warga kerja merehatkan diri daripada tekanan kesibukan kerja dan tugasa harian,” katanya ketika berucap merasmikan KARSUMS 2025 di Stadium UMS, di sini pada Isnin.

Menurut Dr Kasim, keseronokan menyertai sukan akan membantu menghindarkan tekanan kerja serta memberi kesegaran minda dan semangat baharu apabila kembali ke meja kerja.

Menurutnya, satu pembaharuan turut dilaksanakan pada tahun ini apabila KARSUMS diadakan pada hari bekerja bagi membolehkan lebih ramai kakitangan menyertai acara serta memberi sokongan kepada kontinjen masing-masing.

Dalam pada itu, Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, serta Pusat Sukan UMS atas usaha menganjurkan karnival berkenaan yang menghimpunkan pelbagai acara dan penglibatan warga kerja daripada semua kampus universiti.

“Saya berharap, KARSUMS 2025 berlangsung dengan lancar, harmoni dan tanpa insiden yang tidak diingini, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat seluruh warga UMS yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast