Beginilah keadaan salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan nyawa seorang wanita di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur dekat Gombak, awal pagi tadi. Gambar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut, manakala empat lelaki selamat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, dekat Gombak, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pukul 2 pagi.

Katanya, sebuah jentera dengan kekuatan seramai enam pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat tersebut.

“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan tiga kereta jenis Perodua Ativa, Perodua Myvi dan Honda City. Di dalam kenderaan terdapat empat mangsa lelaki berusia 20-an dilaporkan selamat.

“Manakala, seorang wanita berusia 19 tahun tersepit di dalam kereta Honda City dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 3.32 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.48 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast