Duta Besar Malaysia ke Kemboja, HE Dr Shaharuddin Onn, dalam ucapan alu-aluannya berkata ASEAN Bazaar 2025 mencerminkan kesatuan, solidariti dan kerjasama ASEAN yang amat penting dalam menghadapi cabaran semasa.

KUALA LUMPUR – ASEAN Bazaar 2025 yang berlangsung di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini menjadi pentas mempamerkan keunikan budaya, masakan dan tradisi setiap negara anggota.

Ia sekali gus memperkukuh hubungan dan persahabatan serantau.

Acara yang dianjurkan bersama Kedutaan Malaysia dan kedutaan-kedutaan Asean di Phnom Penh itu turut menampilkan penyertaan Timor-Leste sebagai negara jemputan khas.

Ribuan pengunjung hadir termasuk pegawai kanan kerajaan Kemboja, anggota kor diplomatik dan masyarakat umum.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn yang menyifatkan bazaar itu sebagai simbol keamanan, saling menghormati dan kebersamaan ASEAN. 

Beliau berkata, meskipun negara anggota datang daripada pelbagai latar sejarah, bahasa dan tradisi, rantau ini tetap berdiri teguh bersama.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, HE Dr Shaharuddin Onn dalam ucapan alu-aluannya berkata Asean Bazaar 2025 mencerminkan kesatuan, solidariti dan kerjasama Asean yang amat penting dalam menghadapi cabaran semasa.

“ASEAN bukan baharu dengan cabaran. Selama ini kita telah berdepan pelbagai bentuk cabaran dan berjaya mengatasinya bersama. Asean dibina atas asas kukuh serta komitmen negara anggota, dan akan terus bertahan serta menghadapinya secara bersama,” katanya.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, HE Dr Shaharuddin Onn

Beliau turut menekankan tema di bawah Pengerusi Asean oleh Malaysia tahun ini, Sustainability and Inclusivity sangat relevan dengan keperluan semasa.

Dalam pada itu, tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan rasmi Komuniti ASEAN serta bakal menyaksikan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak Asean Oktober depan.

Selain mempamerkan identiti serantau melalui makanan tradisional seperti pho Vietnam dan tom yam Thailand, pengunjung turut disajikan dengan kraftangan unik termasuk jed Myanmar dan hasil tangan Filipina.

Acara turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, muzik tradisional, tarian, persembahan kru kabin AirAsia, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast