Antara dadah jenis MDMA yang dirampas pihak polis.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membongkar stor pembungkusan serta penyimpanan dadah jenis serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan rampasan keseluruhan bernilai RM1.1 juta dalam empat serbuan di sekitar daerah ini.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang bermula 9 malam pada Isnin lalu sehingga 9 pagi semalam itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 33 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, hasil serbuan menemui enam peket plastik hitam berisi serbuk disyaki MDMA seberat 69.4 gram, 225 peket plastik MDMA diisi dalam tiga beg plastik bertulis Chagee seberat 2,901 gram serta tiga botol plastik berpenutup berisi 4,160 gram MDMA.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan 7,130.40 gram dan boleh digunakan oleh seramai 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan jika terlepas ke pasaran.

“Risikan mendapati kesemua suspek bergiat aktif dalam kegiatan ini sejak awal tahun 2025 selain tiga daripada tangkapan itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azizee, dalam serbuan sama pihak polis turut menyita lima kenderaan serta barang kemas bernilai keseluruhan RM417,325.

Antara harta disita termasuk sebuah kereta  Lexus bernilai RM245,000, sebuah Perodua Myvi (RM103,000), sebuah Toyota Altis (RM45,000), sebuah motosikal Honda RS (RM4,200) serta pelbagai barang kemas bernilai RM20,125.

“Secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM1,558,189.

“Kesemua mereka direman lima hari bermula 23 September sehingga 27 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast