MELAKA – Mayat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan lemas ketika mandi di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini petang tadi akhirnya ditemukan selepas tiga jam operasi mencari dan menyelamat.

Mangsa, Muhammad Wafiy Adrian Zafran Mohd Ridzuwan, 12, ditemukan kira-kira 9.40 malam pada jarak kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa disyaki hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji, kejadian itu melibatkan tiga kanak-kanak berusia 12 tahun namun dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.

“Kita menerima panggilan pukul 6.33 petang berhubung kejadian seorang mangsa dipercayai lemas yang mana berdasarkan laporan awal, tiga orang mangsa terlibat.

“Namun dua berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.

Mohd Shahrom berkata, operasi pencarian pada awalnya dijalankan secara surface search menggunakan bot nelayan sebelum usaha pencarian diteruskan dengan strategi lain melibatkan penggunaan pukat nelayan.

“Akhirnya pukul 9.40 malam mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terlangkup, kira-kira 1.5 meter dari tebing pantai. Operasi berdepan cabaran kerana kekangan pencahayaan serta arus deras yang meningkatkan risiko kepada pasukan penyelam.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke hospital bagi proses bedah siasat,” katanya.

Operasi melibatkan pasukan bomba dari Balai Tangga Batu bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Melaka Tengah dengan kekuatan 10 anggota.

Keseluruhan operasi melibatkan 44 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta nelayan tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast