Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam fasa melengkapkan siasatan berhubung skandal ‘counter setting’ yang menyaksikan puluhan individu, termasuk kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, ditahan sejak awal bulan ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini jumlah individu yang ditahan kekal dan tiada tangkapan baharu dilakukan.

Saya telah arahkan pegawai saya untuk percepatkan siasatan dalam tempoh tiga minggu dari sekarang.

“Selepas itu sekiranya ada perkembangan lanjut sama ada tuduh atau tak saya beri jaminan akan maklumkan,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-8 Malaysia Corruption Watch (MCW) di Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.

Minggu lalu, Azam dilaporkan berkata, suruhanjaya itu sedang meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan kenalan rapat individu yang ditahan bagi mengesan aliran wang rasuah yang diterima.

Sebelum ini, beliau mendedahkan pegawai penguat kuasa yang terbabit menerima bayaran antara RM1,800 hingga RM2,500 bagi setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur sah.

Bayaran rasuah itu dipercayai dibuat secara tunai dan juga melalui akaun keldai, dengan anggaran purata RM10,000 hingga RM50,000 sebulan diperoleh oleh pegawai terlibat, bergantung kepada jumlah warga asing yang dilepaskan.

Menerusi Op Rentas yang dilancarkan pada 9 September lalu, seramai 30 individu ditahan termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.

Tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, sekali gus menyingkap kegiatan jenayah rasuah terancang yang memberi kesan besar kepada aspek keselamatan dan integriti negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast