KUALA LUMPUR – Ujian air kencing ke atas seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) yang disyaki memiliki dadah didapati positif.
Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan yang dibuat oleh pihak berkaitan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Tangkapan ini berkaitan kesalahan memiliki dadah dan ujian air kencing juga didapati positif.
“Pihak berkaitan masih membantu siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan TPR berkenaan ditahan polis di kediamannya semalam selepas seminggu melaporkan diri untuk bertugas.
Pemeriksaan yang dijalankan turut menemui bahan terlarang disyaki dadah.
Menurut SPRM, suruhanjaya itu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah melibatkan pegawai mahupun kakitangan.
Pihaknya juga memberikan jaminan penuh untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis. – MalaysiaGazette
















