PETALING JAYAΒ β Jawatankuasa Lembaga Disiplin (JLD) Bersatu hari ini menangguhkan prosiding untuk memanggil empat ketua bahagiannya termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung dakwaan pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sumber MalaysiaGazette memberitahu, penangguhan itu dibuat susulan ketidakhadiran salah seorang ahli panel (JLD) Bersatu di ibu pejabat parti itu di bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.
Selain itu, penangguhan prosiding JLD Bersatu dibuat susulan perkara itu menjadi tular di media sosial sejak malam semalam.
βIa bagi memelihara kerahsiaan dan maruah parti, serta mengelakkan sebarang pra-penghakiman daripada pihak luar. Perkara ini turut diambil kira sebagai sebahagian daripada pertimbangan penangguhan itu,β katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, empat ketua bahagian Bersatu termasuk ahli Parlimen Tasek Gelugor akan dihadapkan ke JLD Bersatu mengikut Fasal 23 Perlembagaan Bersatu yang memperuntukkan kuasa kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk mengambil tindakan tatatertib.
Antara empat pemimpin Bersatu yang sepatutnya dipanggil ke JLD Bersatu hari ini ialah Wan Saiful yang juga Ketua Bahagian Bangi; Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Keempat-empat pemimpin Bersatu ini didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian BERSATU di seluruh negara untuk mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan Bersatu, daripada Muhyiddin kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sekiranya didapati bersalah dan melanggar tatacara disiplin parti, mereka berdepan tindakan pemecatan sebagai ahli Bersatu.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu mendedahkan wujud usaha pihak tertentu dalam parti itu yang mengutip tandatangan bagi menjatuhkannya sebagai presiden Bersatu itu.
Muhyiddin menegur tindakan berkenaan yang disifatkan bercanggah dengan perlembagaan parti yang seharusnya dipatuhi oleh semua ahli. β MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Empat ketua bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin esok?
















