KUALA LUMPUR – Lebuh Raya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. (LPT 2 Sdn. Bhd.) melaksanakan latihan simulasi menghadapi kecemasan hari ini.
Latihan dilakukan di lebuh raya di laluan antara Kijal ke Cukai di KM297 (Arah Selatan) di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, Latihan tersebut dilakukan bagi menguji tahap kesediaan pasukan LPT2 dan agensi penyelamat yang berkaitan dalam menghadapi kecemasan.

Tambahnya, ia sekali gus peluang untuk semua pihak yang berkaitan menambah baik prosedur, proses, koordinasi dan komunikasi antara satu sama lain.
“Keselamatan pengguna lebuh raya adalah keutamaan kami,” katanya menerusi kenyataan.
Zakaria berkata, dalam masa yang sama, latihan tersebut memperkukuhkan hubungan libat urus dan kerjasama antara LPT 2 Sdn Bhd dengan agensi keselamatan yang lain antaranya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Hospital Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Terdahulu latihan simulasi kecemasan itu disertai lebih 100 anggota oleh agensi-agensi penyelamat dan rakan strategik yang terbabit.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Zon 2 Terengganu, Sa’ariah Hassan berkata, inisiatif tersebut bukan sekada memperkukuh tahap kesiapsiagaan malah memastikan setiap agensi dapat bertindak pantas, teratur dan berkesan apabila berdepan dengan situasi kecemasan sebenar.- MalaysiaGazette
















