MELAKA – Pemandu pacuan empat roda yang meluru sehingga merempuh lima kenderaan lain ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Lebuh AMJ, Cheng, di sini, pagi tadi dipercayai mabuk.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, namun maklumat lengkap masih belum diperolehi kerana kesemua mangsa dalam kejadian jam 7.30 pagi itu masih belum membuat laporan polis.

“Bagaimanapun berdasarkan maklumat awal diperolehi, pikap Jenis Mitsubishi Triton itu datang dari arah Bandar Melaka sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Ia kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh dua buah BMW, Perodua Axia dan Myvi, serta sebuah Nissan Almera,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, nahas itu mengakibatkan enam individu cedera dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan namun keadaan mereka dilaporkan stabil.
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan kecederaan atau kematian.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video papan pemuka nahas terbabit yang menunjukkan sebuah pikap tiba-tiba ‘terpelanting’ ke arah beberapa buah kenderaan dari arah hadapan ketika sedang menunggu lampu isyarat merah di simpang berkenaan. – MalaysiaGazette
















