MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyengat dalam acara silat dan taekwondo di Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dengan menggondol 10 pingat keseluruhannya.
Kejohanan MASUM 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 21 September 2025 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi pentas kehandalan atlet silat dan taekwondo UTeM dengan merangkul dua pingat emas, empat pingat perak dan empat pingat gangsa.
Pengarah Pusat Sukan UTeM, Siti Sarah Bujang berkata, ia merupakan antara penyerlahan kumpulan atlet UTeM dalam MASUM apabila berjaya meraih dua pingat emas.
Katanya, satu pingat emas dimenangi menerusi acara Silat Putra A oleh Muhammad Nasrul Daniel Naszari dan 1 lagi pingat emas acara Taekwondo Kyorugi lelaki bawah 74 kilogram (kg) oleh Nashvin Ganesan.
“Bagi empat pingat perak pula telah berjaya dimenangi menerusi tiga acara taekwondo iaitu Kyorugi lelaki bawah 68 kg, Poomsae individu wanita dan Kyorugi wanita bawah 53 kg manakala 1 pingat lagi menerusi Silat Putra I.
“Pada masa yang sama, empat pingat gangsa pula dikutip menerusi acara Taekwondo Kyorugi lelaki bawah 54 kg dan Kyorugi lelaki bawah 58 kg dan acara silat pula menerusi Putri A dan Putri E,” ujarnya mengulas kemenangan UTeM di MASUM 2025 dalam kenyataan hari ini.
Dalam penyertaan MASUM 2025, UTeM telah menghantar seramai 40 orang atlet bersama enam orang jurulatih dan 4 orang pegawai yang mempamerkan aksi dalam enam acara iaitu petaque, catur, memanah, karate, taekwondo dan silat.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin menyatakan pencapaian UTeM di MASUM 2025 merupakan antara pencapaian terbaik apabila berjaya mencapai 2 pingat emas dan kali pertama menjulang pingar emas buat acara silat.
“Kejayaan ini tentunya menjadi pemangkin kepada keseluruhan kumpulan atlet UTeM bagi pelbagai acara untuk beraksi dengan lebih cemerlang lagi pada temasya MASUM akan datang,” ulas beliau. – MalaysiaGazette
















