KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyeru seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa bersama-sama umat Islam di Palestin terus mendoakan kesejahteraan pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang semakin menghampiri wilayah Gaza selepas lebih tiga minggu pelayaran.
Ketuanya, Ahmad Yahaya berkata, berdasarkan maklumat terkini, kapal GSF berdepan serangan dron rejim Zionis menjadikannya serangan keempat sejak pelayaran bermula.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menambah, ancaman udara itu sememangnya dijangka dan pelbagai negara termasuk wakil Malaysia yang terlibat dalam GSF telah mengeluarkan kenyataan amaran berhubung perkara berkenaan.
“DUPP menggesa agar umat Islam di seluruh negara terus mendoakan Qunut Nazilah ke atas kekejaman dan kezaliman tanpa henti rejim zionis.
“Bahkan kita juga seharusnya bersatu hati dengan para wira negara dan lain-lain yang menyertai Global Sumud Flotilla terbesar bagi menyelesaikan misi kemanusiaan di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pelayaran GSF sedang melalui perairan Mediteranean dengan membawa pelbagai makanan dan perubatan untuk disalurkan kepada rakyat Gaza yang tertindas.
Katanya, pelayaran itu bertujuan memecahkan sekatan rejim zionis bagi menyampaikan misi kemanusiaan kepada rakyat Gaza, sekali gus menjadi misi besar kemanusiaan yang mendapat sokongan daripada seluruh pelusuk dunia.
“DUPP turut mendoakan agar semua para sukarelawan dikurniakan kecekalan jiwa dan hati untuk meneruskan misi yang penuh mulia ini dan berjaya memasuki wilayah Gaza kelak.
“Semoga Allah SWT melindungi kesemua kapal yang sedang berlayar memasuki wilayah Gaza, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
















