KUANTAN – Polis Pahang menerima 1,000 kotak makanan daripada kerajaan di bawah Inisiatif Madani Prihatin.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, setiap kotak makanan dianggarkan bernilai RM100 itu mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, gula dan keperluan harian lain.
“Saya yakin sumbangan ini akan memberi manfaat besar kepada penerima, bukan sekadar dalam bentuk barangan makanan asas, tetapi juga sebagai simbol harapan dan tanda bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran hidup.
”Gunalah barangan yang disediakan secara berhemah dan penuh rasa syukur. Elakkanlah sebarang pembaziran kerana setiap rezeki yang dikurniakan ini adalah hasil keprihatinan dan kasih sayang daripada mereka yang sudi membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kotak makanan Madani Prihatin di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Alor Akar di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Dr Sim Chon Siang, mewakili Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Menurutnya sumbangan itu juga disalurkan kepada beberapa kategori penerima termasuk pesara polis, pesakit kronik, pengantin baru, ibu atau bapa tunggal, balu dan orang kurang upaya (OKU). -Mala
















