MELAKA – Kisah kesempitan dalam kehidupan dua orang pelajar bersama keluarga mereka di Kelantan mendapat perhatian daripada pihak pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi menghulurkan bantuan awal pengajian.
Kedua-dua pelajar ini Mas Mariam Ramli (22 tahun) dan Muhammad Aiman Alif Zai Zi Fikri (19 tahun) merupakan pelajar baharu yang telah mendapat tawaran untuk memulakan pengajian di UTeM pada 29 September ini.
Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, meneliti keadaan kesukaran dua pelajar baharu ini, UTeM segera bertindak dengan menghulurkan bantuan awal pengajian kepada kedua-duanya.
“Pihak UTeM telah berkunjung sendiri ke kediaman kedua-dua pelajar ini di rumah mereka di Kelantan sejurus mendapat perkhabaran bagi menyampaikan bantuan awal pengajian.
“Mas Mariam ditawarkan Biasiswa Anak Emas UTeM bersama pakej bantuan awal pengajian termasuk wang tunai RM1,500.00 inisiatif Food Bank, penginapan asrama hingga tamat pengajian, bimbingan kaunseling dan kerjaya kepadanya
sehingga berjaya dalam pelajaran.
“Manakala Muhammad Aiman Alif pula telah diberikan pakej bantuan awal pengajian termasuk wang tunai RM1,500.00 serta inisiatif Food Bank,” katanya.
Bantuan UTeM ini telah disampaikan oleh wakil Naib Canselor UTeM, Pengarah Pembangunan Pelajar & Alumni, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Hazli Rafis Abdul Rahim bersama dengan Timbalan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE), Mohd Khairul Nizam Suhaimin, baru-baru ini.
Mas Mariam Ramli merupakan anak bongsu daripada 9 orang adik beradik kini berdepan dengan kesukaran ekoran bapanya Ramli Husin, 62, menghidap penyakit angin ahmar dan berstatus orang kelainan upaya (OKU) fizikal sejak 13 tahun yang lalu.
Ibunya, Rohani Mohamad, 63, pula bergelut dengan penyakit diabetes, darah tinggi dan kolesterol, menambah lagi bebanan dan keperitan mereka sekeluarga dalam menyara kehidupan seharian.
“Ingin mengharap bantuan daripada adik beradik yang lain pun memang sukar kerana masing-masing tidak mempunyai pendapatan yang stabil di samping dua orang abang lagi pula berstatus oku (lembam).
“Namun dengan bantuan awal pengajian termasuk Biasiswa Anak Emas dari UTeM telah memberikan sinar baharu kepada saya untuk mencapai cita-cita menerusi program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian bermula pendaftaran di UTeM pada 29 Oktober nanti.

“Saya amat berterima kasih kepada UTeM kerana prihatin dan cakna dengan keadaan saya sekeluarga, justeru saya bertekad dan berazam untuk bersungguh-sungguh mengikuti pengajian di UTeM sehingga berjaya cemerlang,” ujarnya sewaktu kunjungan UTeM di kediaman beliau di Jalan Bayam, Kota Bharu Kelantan.
Seorang lagi pelajar baharu Muhammad Aiman Alif yang akan mengikuti pengajian menerusi program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dengan Kepujian turut berterima kasih dan terharu apabila menerima kunjungan
UTeM di kediaman beliau di Kampung Lundang, Kota Bharu.
“Saya amat terharu apabila rintihan saya terhadap kekangan kewangan untuk membayar yuran awal pengajian ekoran kesempitan hidup keluarga rupanya tanpa disedari telah mendapat perhatian daripada UTeM.
“Terima kasih dan penghargaan daripada saya dan keluarga buat UTeM kerana amat prihatin dalam aspek kebajikan pelajar baharu seperti saya dan bantuan ini adalah di luar jangkaan saya.
“Mengenangkan ayah (Zai Zi Pikri Che Mat, 55 tahun) yang bekerja sebagai pembantu tukang kimpal manakala ibu (Siti Minah Sulong, 46 tahun) pula bekerja sebagai pembantu kedai makan yang berpendapatan kecil sudah tentu menyukarkan dalam aspek kewangan,” katanya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Muhammad Aiman Alif merupakan pelajar lepasan program Matrikulasi Sains Fizikal di Kolej Matrikulasi Kelantan dengan keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50. – MalaysiaGazette
















