Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh

JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian memecahkan cermin kereta Tesla dan melarikan beg berisi wang tunai dengan anggaran kerugian RM100,000 di Taman Perling, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular di laman Facebook yang memaparkan kejadian itu, sebelum menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 34 tahun pukul 1.34 tengah hari, pada hari sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10.11 pagi, bila mangsa meletakkan kereta elektrik miliknya dalam keadaan baik (berkunci), namun, apabila mahu menggunakannya, dia mendapati cermin hadapan bahagian pemandu telah dipecahkan oleh suspek yang tidak dikenali.

“Mangsa mendakwa barang yang dilaporkan hilang ialah sebuah beg berisi sejumlah wang tunai dengan anggaran kerugian sebanyak RM100,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast