TMJ
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail

KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan sekatan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tegasnya, FAM sudah mengikut semua proses yang diperlukan selain menjalankan kerjasama dengan FIFA dan kerajaan Malaysia.

Malah menurut Tunku Ismail, badan bola sepak antarabangsa itu juga telah memberi kelulusan dan mengesahkan bahawa pemain-pemain berkenaan layak beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

“Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?

“Lagi satu persoalan, hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab keputusan.

“Tambahan lagi FIFA cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam public domain walaupun proses rayuan belum selesai.

“Who was in New York?” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini sambil mengepilkan bersama surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara.

 

Tunku Ismail juga berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin.

“Tak kan kita takut dan nak tunduk dengan individu – individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” katanya lagi.

Semalam, FIFA dalam kenyataan memaklumkan mengenakan sekatan ke atas FAM bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Katanya, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Bagaimanapun, FAM dalam respons pantasnya berhubung isu itu memaklumkan, mereka tidak akan berdiam diri dan akan mengemukakan rayuan menerusi saluran perundangan bagi mempertahankan hak pemain. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast