Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh menyampaikan ucapan ketika hadir pada majlis pendaftaran baharu pelajar ke UKM di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail 2 (KTDI 2) Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 27 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan, pihaknya tidak pernah menawarkan kursus `lelong’ kepada penuntut baharu yang memohon melanjutkan pengajian pada sesi akademik 2025/2026 di universiti itu.

Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh sebaliknya berkata, kursus yang ditawarkan adalah berkualiti, diiktiraf serta memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ujar beliau, proses semakan kursus secara berkala juga dijalankan setiap lima tahun bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memastikan kursus yang ditawarkan seiring dengan keperluan semasa.

“UKM tidak pernah ‘melelong’ kursus kepada penuntut baharu, mereka memilih universiti ini sebagai pilihan utama melalui permohonan sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

“Apa yang menjadi isu adalah apabila penuntut memohon kursus tertentu, namun gagal mendapatnya dan diberikan kursus lain.

“Sebenarnya, kursus yang ditawarkan itu dipilih sendiri ketika mengisi permohonan UPU. Jadi kita bukan beri kursus yang mereka tidak mahu kerana pemilihan kursus dibuat oleh penuntut sendiri,” ujar beliau.

Sebagai contoh, di Fakulti Perubatan, sebanyak 1,000 permohonan yang ditapis dan seramai 800 orang diminta menghantar video pendek mengenai diri masing-masing.

Ujarnya, daripada jumlah itu, seramai 600 orang dipanggil untuk temuduga di empat pusat temuduga berbeza dalam fakulti.

Sufian menyatakan demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan pendaftaran penuntut baharu sesi akademik 2025/2026 universiti itu di sebuah kolej kediaman di Cheras melibatkan Fakulti Perubatan, di sini, hari ini.

Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh (kiri) beramah mesra bersama ibu bapa serta para pelajar ketika hadir pada majlis pendaftaran baharu pelajar ke UKM di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail 2 (KTDI 2) Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 27 SEPTEMBER 2025.

UKM mula menerima kemasukan 4,078 penuntut baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda melibatkan tiga kampus di Kuala Lumpur, Cheras dan Bangi.

Sufian berkata, pada sesi kali ini, UKM menerima 70,745 permohonan melalui UPU dan daripada jumlah itu, seramai 8,567 memilih universiti itu sebagai pilihan pertama.

“Memang agak sukar untuk memasuki UKM dan ini menunjukkan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan melalui program pengajian pelbagai bidang,” ujarnya.

Sufian menyatakan, lebih RM6.5 juta peruntukan yang memanfaatkan kira-kira 8,000 mahasiswa telah disalurkan sepanjang 2024, sekali gus membuktikan komitmen tinggi UKM dalam memastikan pelajar dapat menjalani pengajian dengan baik.

Beliau berkata, antaranya adalah bantuan awal berjumlah RM1,200 kepada pelajar baharu khususnya golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), bantuan zakat UKM, kebajikan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan bantuan-bantuan lain.

“Kalau ikut data yang kita ada sebelum ini, lebih separuh adalah pelajar di sini (UKM) adalah daripada golongan berpendapatan rendah.

“Jadi untuk pelajar baharu, kita ada bantuan awal pendidikan pelajar iaitu pendahuluan RM1,200 bagi mereka datang mendaftar. Selain itu, kita juga ada bantuan pembelajaran merangkumi komputer riba atau tablet,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast