KUALA LUMPUR – Dua tapak rizab biosfera di negeri Sabah di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) semasa mesyuarat International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (MAB-ICC) ke-37 yang berlangsung di Hangzhou, China, 27 September lalu.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker telah melepasi proses penilaian kajian berkala dan berjaya mengekalkan status sebagai tapak rizab biosfera UNESCO.
Selain itu, Kinabatangan, Sabah juga diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera Malaysia terbaharu dan keempat di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) oleh UNESCO selepas Tasik Chini, Pahang (2009), Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang (2021).
Menurutnya, penilaian semakan berkala merupakan laluan penting bagi sesebuah rizab biosfera yang dilaksanakan setiap 10 tahun dan proses ini bertujuan untuk menyemak keberkesanan, pengezonan dan pengurusan rizab biosfera, selain daripada penglibatan komuniti di kawasan rizab tersebut.
Malah, Rizab Biosfera Banjaran Crocker telah melalui proses semakan berkala ini selepas 10 tahun diiktiraf pada tahun 2014.
Rizab yang berkeluasan 413,866 hektar pula merupakan khazanah alam yang kaya dengan biodiversiti unik serta warisan budaya bernilai tinggi yang terletak sepanjang 560 kilometer jajaran Sungai Kinabatangan.
Ia merupakan habitat penting kepada 315 spesies burung, 100 spesies reptilia, 33 spesies amfibia, 127 spesies mamalia dan lebih 1,000 spesies tumbuhan vaskular.
Tapak ini juga menjadi habitat kepada spesies endemik, jarang ditemui serta terancam, antaranya orang utan (Pongopygmaeus), gajah Borneo (Elephas maximusborneensis), monyet belanda (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus), harimau dahan (Neofelis diardi), dan lapan spesies burung enggang Sabah.
“NRES merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah di atas pengiktirafan ini. Kejayaan ini merupakan hasil komitmen dan dedikasi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, serta badan bukan kerajaan, pihak industri dan komuniti setempat yang menzahirkan usaha kolektif dan bersepadu dalam mengurus kawasanberkepentingan biodiversiti serta memacu pembangunan mampan di Sabah.
“Kementerian yakin Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited dalam usaha memperkukuhkan usaha pemeliharaan biodiversiti dan mengurus pembangunan secara mampan, selaras dengan Sabah Biodiversity Strategy 2024–2034. Langkah berterusan ini akan memastikan status pengiktirafan antarabangsa ini dapat dikekalkan, sekali gus menjadikan Sabah sebagai model kejayaan harmonisasi antara manusia dan alam semula jadi,” katanya hari ini.
NRES menambah, pengiktirafan Rizab Biosfera Kinabatangan turut menyokong pemeliharaan dialek Sungai yang kini disenaraikan sebagai Critically Endangered oleh UNESCO Atlas of the World’s Languages in Danger. – MalaysiaGazette
















