JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 104 pendatang tanpa izin dalam Operasi Sapu yang dijalankan secara mengejut di sekitar kawasan setinggan, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula 2 pagi itu melibatkan 121 pegawai dan anggota penguat kuasa pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan negeri dan cawangan, selain tiga pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan serta aduan awam mengenai kehadiran PATI di kawasan berkenaan.
“Semasa serbuan, puluhan warga asing pelbagai warganegara dilaporkan terkandas apabila cubaan melarikan diri gagal selepas kawasan berkenaan dikepung sepenuhnya oleh anggota penguat kuasa.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, 44 wanita dewasa serta enam kanak-kanak perempuan warganegara Indonesia, selain seorang wanita dewasa warganegara Filipina.
“Pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.















