petrol
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) tidak wajar dilihat dari sudut `poket’ rakyat semata-mata, sebaliknya kesan terhadap ekonomi negara yang lebih besar.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera, Norman Daud berkata, penurunan harga petrol sebanyak enam sen menerusi insiatif itu iaitu daripada RM2.05 kepada RM1.99 mungkin bukan nilai yang besar.

Namun, jelasnya, dari sudut negara, ia melibatkan penjimatan berbilion-bilion ringgit subdisi petrol yang perlu ditanggung kerajaan sebelum ini yang kini boleh disalurkan kepada sektor pembangunan lain yang lebih mustahak.

Beliau mengambil contoh pada 2022 yang mana kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM50 bilion untuk subsidi bahan api, iaitu angka tertinggi dalam sejarah negara, serta sekitar RM30 bilion lagi pada 2023.

“Wang sebanyak itu hampir sama dengan keseluruhan bajet pendidikan atau kesihatan negara.

“Maksudnya, kalau subsidi petrol ini dibiarkan berterusan tanpa kawalan, kita terpaksa pilih sama ada nak bina sekolah atau nak subsidi minyak, sama ada nak tambah hospital atau nak tanggung harga pam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Disebabkan itu, tambah beliau, kerajaan terdahulu sama ada ketika era Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mengakui subsidi pukal bukan langkah yang mampan.

Sekiranya diteruskan, katanya, situasi kewangan negara akan menjadi semakin tenat dengan defisit fiskal boleh melonjak mencecah antara tujuh hingga lapan peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Bila defisit makin besar, pelabur hilang keyakinan, nilai ringgit jatuh, dan akhirnya kos barang import naik.

“Kita yang terpaksa bayar harga lebih tinggi di pasar,” katanya.

Disebabkan itu, ujarnya, inisiatif BUDI95 hadir sebagai jalan tengah yang mana warga Malaysia dengan lesen memandu sah boleh menikmati harga petrol RON95 pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran yang boleh mencecah antara RM3.40 hingga RM3.60 seliter.

“Subsidi masih ada, tapi dihadkan kepada 300 liter sebulan untuk pastikan ketirisan terkawal.

“Dari sudut poket kita, nampak kecil. Tapi dari sudut negara, inilah bezanya antara ekonomi yang terus bocor dengan ekonomi yang boleh diselamatkan.

“Dan bila kerajaan jimatkan berbilion ringgit daripada subsidi pukal yang tidak adil, wang itu boleh dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk lain – lebih banyak bantuan tunai, lebih banyak sekolah dan hospital, lebih banyak jalan raya dan infrastruktur luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Norman turut menyelar Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Halimah Ali yang sebelum ini menyifatkan seolah-olah inisiatif BUDI95 tidak membantu di sebalik kenaikan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, sebagai seorang Ahli Parlimen, Halimah sepatutnya menceritakan perkara sebenar, bukan mengapi-apikan kemarahan rakyat memandangkan beliau mengetahui rasional kerajaan menerusi inisiatif BUDI95 tersebut.

“Jadi kalau kita fikir jangka pendek, enam sen tu memang nampak tak berbaloi.

“Tapi kalau kita fikir jangka panjang, inilah pelaburan untuk masa depan negara.

“Subsidi tetap ada, rakyat tetap dibantu, dan dalam masa sama negara diselamatkan daripada tenggelam dengan beban hutang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast