KUALA LUMPUR – Syarikat pengangkutan perlu bertanggungjawab memastikan kenderaan masing-masing sentiasa diselenggara dengan baik setiap masa bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, syarikat tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)yang diwajibkan setiap enam bulan, sebaliknya perlu melakukan pemeriksaan berkala secara berterusan.
“Dalam kes ini (kelmarin), jelas sistem brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain. Ia menunjukkan aspek penyelenggaraan kenderaan amat penting dan tidak boleh dipandang ringan.
“Syarikat pengangkutan perlu bertanggungjawab menjaga kenderaan mereka sepanjang masa, bukan menunggu tarikh pemeriksaan Puspakom semata-mata,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (TBG) hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Siew Fook berkata, laporan awal mendapati syarikat terbabit hanya mempunyai dua lori dan kedua-duanya masih aktif dengan lesen serta pemeriksaan Puspakom yang belum tamat tempoh.
“Namun, aspek penyelenggaraan dalaman tetap perlu diberi keutamaan meskipun syarat pemeriksaan dipatuhi,” katanya.
Sabtu lalu, seorang bayi berusia setahun maut selepas tercampak keluar daripada kereta dipandu ibunya, Nurul Husna Khairuddin, 38, akibat dirempuh sebuah lori di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (SILK).
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek sebelum melanggar tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke plaza tol.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pemandu lori terbabit sempat melompat keluar daripada kenderaannya sebelum rempuhan berlaku.
Akibat kejadian itu, selain seorang bayi maut di lokasi, tujuh mangsa lain cedera dan dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang serta KPJ Kajang.
Pemandu lori berusia 42 tahun itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















