Presiden Donald Trump. foto AFP

KUALA LUMPUR – Alasan menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kerana ingin meramaikan kawan sedangkan Malaysia tegas dengan pendirian membela Palestin, adalah sangat rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal yang sihat.

Apatah lagi, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ia berlaku dalam keadaan negara-negara di seluruh dunia termasuk negara bukan Islam, malah rakyat AS sendiri mula memulaukan Israel yang nyata keganasan dilakukan dengan sokongan Trump.

Menurut beliau, Trump merupakan seorang yang nyata terlibat bersekongkol bersama Israel melakukan kekejaman paling melampau terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Abdul Hadi Awang.

Bahkan, katanya, sudah puluhan ribu kanak-kanak menjadi korban keganasannya, yang mana angka itu lebih besar jika dicampurkan dengan kaum wanita, warga tua dan pesakit yang berada di hospital.

Pada masa sama, ujar beliau, Israel juga telah memusnahkan rumah kediaman, khemah pelarian dan rumah ibadat, sehingga turut membunuh petugas bantuan kemanusiaan.

“Jenayahnya telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Namun begitu, AS bukan sahaja menggunakan kuasa veto untuk membatalkan semua keputusan tersebut, bahkan turut membantu dengan segala jenis senjata dan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dengan arahan yang nyata oleh Presidennya, Donald Trump,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian menerusi Minda Presiden Pas bertajuk ‘Akibat Bersahabatkan Syaitan’ seperti disiarkan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyifatkan Trump menjadi ‘syaitan besar’ yang menggoda masyarakat dunia, menjadi pendamai yang zalim apabila meletakkan syarat supaya kumpulan rakyat Palestin yang berjuang demi mempertahankan diri dan tanah air dilucutkan senjatanya.

Namun, katanya, Israel pula tidak diarahkan melakukannya, sebaliknya AS terus menjadi pembekalnya dengan bertali arus, termasuk membekalkan senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa kerana kesan kemusnahannya yang dahsyat.

“Kini, ia digunakan untuk menghancurkan Gaza,” katanya.

Selain itu, jelasnya, Trump turut menggoda rakyat Palestin dengan bantuan kewangan yang paling besar jumlahnya supaya menerima penyelesaian dua negara (two-state solution).

Selain itu, tambah beliau, rakyat Palestin turut dipaksa berpindah dengan meninggalkan negara itu dan menyerah kepada Israel dalam keadaan Israel terus merampas kawasan yang masih menjadi tempat rakyat Palestin yang terpaksa berlindung.

“Namun, semua tawaran itu ditolak oleh rakyat Palestin yang tinggi maruahnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast