Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Asean pada perlumbaan Le Tour de Langkawi 2025 peringkat 2 (Padang Besar - Kepala Batas) sejauh 166.1 kilometer di Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 29 SEPTEMBER 2025.

KEPALA BATAS – Pelumba Terengganu Pro Cycling (TSG) Wan Abdul Rahman Hamdan berjaya menamatkan perlumbaan peringkat kedua perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Padang Besar ke Kepala Batas hari ini meskipun rantai basikalnya tertanggal pada dua kilometer terakhir.

Wan Abdul Rahman atau dikenali sebagai Achik berkata beliau bangkit untuk mengejar pelumba lain bagi menamatkan perlumbaan pada kedudukan keenam dengan catatan masa tiga jam 29 minit 59 saat (s) untuk muncul pelumba terpantas dari Asia hari ini, sekali gus meraih gelaran pelumba terbaik Malaysia dan ASEAN.

“Untuk kedudukan tadi dua kilometer terakhir Achik cuba ikut pelumba Astana tetapi terlepas sebab ada ahli pasukannya himpit dan rantai basikal Achik terjatuh.

“Jadi Achik naikkan balik rantai dan memang banyak guna tenaga untuk kejar pelumba lain dan berjaya dapat jadi pelumba peringkat Asia terbaik hari ini,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Ditanya mengenai peringkat ketiga esok, beliau mengakui laluan mendaki dari Gerik menuju ke Pasir Puteh bakal menjadi cabaran besar buat dirinya dan pasukan.

Bagaimanapun beliau optimistik rakan sepasukan mampu mengharungi peringkat pendakian khususnya Vadim Pronskiy, Mathias Bregnhoj dan Adne Van Engelen yang dijangka menjadi sandaran TSG.

“Esok saya cuba mencari kedudukan selamat di Bukit Gerik. Kalau terlepas, saya akan cari kumpulan besar untuk sampai ke penamat,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast