Gambar ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggempur syarikat-syarikat dipercayai terlibat penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import/eksport yang menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai anggaran sekitar RM350 juta sejak tahun 2020 hingga 2025.

Serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu iaitu Ops Grip diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 23 lokasi sekitar Lembah Klang , Pulau Pinang dan Johor hari ini.

Menurut sumber, serbuan dijalankan ke atas syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport tayar, gudang dan kontena penyimpanan tayar.

“Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang melibatkan nilai anggaran kira-kira RM70 juta,” katanya.

Sumber berkata, siasatan juga turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh oleh sama ada pegawai kastam atau syarikat-syarikat pengimport tayar melalui aktiviti penggubahan wang haram.

Isu berkenaan dengan tayar terpakai yang tidak menepati piawaian boleh diumpamakan seperti ‘bom jangka’ kerana ia menjejaskan keselematan pengguna dan boleh menyebabkan kemalangan dan menuntut tindakan lebih tuntas pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan tersebut dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Katanya, SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast