Sebahagian penerima bantuan sumbangan zakat Dermasiswa Al-Ikhlas yang diperkenalkan oleh UMT sejak lapan tahun lalu.

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh komitmennya dalam kebajikan pelajar apabila sebanyak RM1.8 juta Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas disalurkan kepada pelajar universiti itu menerusi Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT.

Sesi penyerahan sumbangan itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dengan disaksikan oleh wakil agensi penyumbang utama zakat.

Sumbangan zakat yang diperkenalkan itu merangkumi tiga kategori bantuan iaitu Bantuan Awal Pengajian sebanyak RM500 seorang kepada 1,000 pelajar baharu bagi membantu mereka menampung keperluan asas ketika memulakan pengajian.

Selain itu, UMT juga memperkenalkan bantuan komputer riba kepada 40 orang pelajar asnaf.

Antara penerima manfaat ialah Muhammad Hafizi Mohd Arifin, 18, pelajar Diploma Perikanan dari Jerantut, Pahang, yang sebelum ini terpaksa menggunakan komputer riba pinjaman rakan kerana kekangan kewangan.

Dr. Mohd Zamri menyerahkan cek cura kepada Muhammad Hafizi
Mohd Arifin, pelajar Diploma Perikanan di UMT.

“Sebelum ini saya meminjam laptop kawan untuk menyiapkan tugasan. Dengan adanya bantuan ini, saya lebih bersemangat untuk belajar dan berusaha mencapai keputusan terbaik,” ujar Muhammad Hafizi yang merupakan anak kepada pasangan penoreh getah.

Lebih menggembirakan apabila Nur ‘Azhiimah Mohd Ali, 28, diumumkan sebagai penerima tunggal skim Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000.

“Biasiswa ini bukan sahaja meringankan beban keluarga saya, malah menjadi motivasi untuk saya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

“Saya berazam untuk membalas jasa semua pihak yang membantu dengan kejayaan,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan memperoleh CGPA 3.44 program Sarjana Muda Sains Akuakultur Dengan Kepujian.

Turut hadir pada majlis itu ialah wakil daripada agensi penyumbang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Bank Islam, CIMB Islamic, RHB Islamic dan Bank Muamalat yang bersama-sama komited menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi nasional.

Nur ‘Azhiimah Mohd Ali penerima tunggal skim Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000.

Dalam ucapannya, Dr. Mohd Zamri Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang zakat dan menegaskan bahawa usaha itu bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik
mereka.

“Majlis yang kita adakan hari ini membuktikan kerjasama erat antara UMT dan rakan strategik dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada memperoleh pendidikan berkualiti disebabkan kekangan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast