KUALA LUMPUR – Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin perlu dikutuk secara berterusan dan bukan sekadar laungan politik semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekejaman dilakukan itu merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan memberi kesan kepada keselamatan sosial di seluruh dunia.
Jelas beliau, tindakan kejam zionis itu menjejaskan hak manusia yang tidak boleh dipisahkan dengan keselamatan, maruah dan
akses kepada perkhidmatan penting.
“Semasa menangani keselamatan sosial pada skala global, kita mesti menghadapi ketidakadilan sistemik ini dengan tidak berdiam diri mengenai kekejaman itu.
“Dalam hal ini, tindakan berani individu menyertai flotila ke Gaza menandakan kuasa yang menentang penindasan dan sebagai solidariti hebat kepada penduduk Gaza.
“Penglibatan daripada aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia menekankan kepentingan global secara kolektif dan tanggungjawab dalam mencabar keganasan dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 (WSSF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Anwar menegaskan, Malaysia terus mengecam penjajahan oleh zionis di Palestin sebagai pembuktian komitmen terhadap keadilan.
Kecaman itu, kata perdana menteri, melangkaui sempadan negara dengan menegaskan kepentingan solidariti dalam gerakan sosial, selain menekankan bahawa wacana berkesan mengenai keselamatan sosial dunia mesti mengiktiraf serta mengintegrasikan realiti tersebut. – MalaysiaGazette
















